"Life is a journey but never a destination. Submitting to Allah is our only destination"

Friday, February 10, 2012

Faktor luaran dalam proses kaunseling pemulihan individu kurang upaya

Beberapa faktor luaran yang boleh mempengaruhi proses kaunseling pemulihan adalah seperti berikut:
(1) Persepsi orang awam terhadap individu kurang upaya tersebut
Cara membina persepsi terhadap OKU boleh mempengaruhi cara layanan yang diberikan kepada golongan OKU. Salah satu perkara yang boleh mempengaruhi persepsi orang awam ialah jenis ketidakupayaan yang dialami oleh OKU tersebut. Contohnya, individu yang menggunakan kerusi roda kerana ketidakupayaan fizikal mungkin akan lebih cenderung untuk diberi layanan yang negatif berbanding dengan individu yang mengalami masalah pembelajaran kerana ketidakupayaan yang dialami tidak jelas dan tidak serius.
Selain itu, persepsi orang awam juga boleh dipengaruhi oleh perasaan bimbang dan takut untuk berhadapan atau berinteraksi dengan OKU kerana ketidakupayaan OKU membuatkan mereka berasa janggal dan tidak selesa. Contohnya, seorang individu mengelakkan diri untuk bercakap dengan individu yang mengalami masalah down syndrome kerana takut dengan rupa paras mereka yang berlainan daripada individu biasa atau seorang individu tidak mahu bersalaman dengan individu yang mengalami ketidakupayaan psikiatri kerana dikhuatiri akan dijangkiti penyakit yang sama jika bersentuhan dengan mereka.
Situasi seperti ini boleh menjejaskan proses kaunseling pemulihan individu kurang upaya kerana proses integrasi dengan masyarakat umum merupakan sebahagian daripada aspek yang mempengaruhi motivasi individu kurang upaya untuk membina keyakinan diri. Persepsi negatif orang awam ini berpunca daripada kurang pengetahuan dan kefahaman tentang jenis-jenis ketidakupayaan dari aspek perubatan dan psikososial, kurang didedahkan dengan isu-isu yang berkaitan dengan orang kurang upaya, sering membuat salah tanggapan tentang OKU dengan bergantung pada maklumat yang diperolehi dari media massa sahaja dan tidak pernah berinteraksi atau berhubungan dengan OKU sama sekali. Kajian telah membuktikan bahawa interaksi dengan OKU mempengaruhi persepsi individu terhadap OKU. Secara umumnya, individu yang pernah berinteraksi dengan OKU mempunyai kecenderungan untuk menyimpan persepsi yang positif terhadap OKU (Antonak & Livneh, 1997).
(3) Keadaan semasa (dari segi sosial, ekonomi dan politik)
Untuk memastikan golongan OKU mendapat hak yang sama seperti masyarakat umum, proses perubahan perlu dilakukan melalui sistem yang berstruktur dan mempunyai standard khusus. Tanpa polisi dan undang-undang yang berkaitan dengan OKU, hak-hak golongan kurang upaya mungkin tidak terjamin dan tidak dapat dilindungi dan keadaan ini hanya akan menjejaskan proses kaunseling pemulihan individu orang kurang upaya. Tidak dinafikan dalam setiap pergerakan termasuklah pergerakan OKU juga bergantung dengan keadaan politik semasa.
Sejarah perkembangan perkhidmatan untuk golongan OKU dan perjuangan hak OKU di Malaysia bermula daripada konsep kebajikan dan dimanifestasi melalui khidmat kerja sosial dan pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). Kalau kita mengkaji perkembangan pergerakan kumpulan OKU di Amerika, mereka telah mendapat inspirasi daripada perjuangan hak asasi sosial yang diterajui oleh Martin Luther King pada sekitar tahun 60an dan 70an. Pergerakan kumpulan OKU ini diterajui oleh individu orang kurang upaya itu sendiri dan mereka telah berjuang untuk mendapat hak sama rata dalam mengambil bahagian dalam institusi kemasyarakatan dan organisasi pekerjaan dan menuntut hak untuk mendapat akses kemudahan dan perkhidmatan seperti yang dinikmati oleh masyarakat awam yang lain.
Sebaliknya, usaha awal perjuangan hak OKU di Malaysia adalah usaha murni daripada golongan awam secara majoriti yang merasakan usaha menjamin kebajikan OKU adalah tanggungjawab bersama dan saya berpendapat ini adalah disebabkan oleh budaya masyarakat Asia yang banyak berfokuskan kepada budaya kebersamaan (collectivist value). Usaha membangunkan golongan OKU di Malaysia lebih sinonim di kalangan pengamal kerja sosial jika dibandingkan dengan pengamal kaunseling. Saya melihat kedua-dua aspek ini penting kerana proses pemulihan individu kurang upaya memerlukan pendekatan holistik. Di dalam proses kaunseling pemulihan, salah satu peranan kaunselor ialah untuk mengadakan perbincangan dengan tenaga profesional daripada bidang lain yang berkaitan dengan individu kurang upaya tersebut seperti pengamal perubatan dan juga pengamal kerja sosial bagi memastikan intervensi dan kaedah yang digunakan dalam proses kaunseling bersesuaian dengan situasi individu tersebut.
Usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan adalah seperti menyediakan perkhidmatan untuk orang kurang upaya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya menyediakan elaun bantuan kewangan untuk pekerja yang mengalami kecacatan dan elaun kewangan bagi OKU yang tidak bekerja. Selain itu, JKM juga menyediakan bantuan alat tiruan atau sokongan (seperti alat untuk meningkatkan tahap pendengaran, kerusiroda dan sebagainya) serta menyediakan perkhidmatan kaunseling dan psikologi untuk OKU. Saya melihat usaha ini satu asas yang baik dan mempunyai lebih banyak ruang lagi untuk diperluaskan sekiranya tenaga profesional yang berkaitan dengan OKU membuat kajian untuk penambahbaikan sistem yang telah dilaksanakan oleh pihak JKM.
Pada 7 Julai 2008, Akta Orang Kurang Upaya telah dikuatkuasakan. Signifikan Akta ini adalah dasar ini telah digubal berdasarkan konsep hak asasi dan bukan konsep kebajikan dengan berlandaskan falsafah bahawa orang kurang upaya mempunyai hak yang sama sepertimana hak yang telah digariskan untuk orang awam. Akta ini merangkumi aspek pendaftaran, hak perlindungan, pemulihan dan aspek lain yang bertujuan untuk membangunkan OKU. Memandangkan Akta ini masih baru, cabaran daripada segi perlaksanaan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.
Harapan saya agar lebih ramai golongan OKU mendapat peluang untuk mendapat akses pendidikan di sekolah dan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan disediakan kemudahan dan perkhidmatan yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam proses pembelajaran dan saya juga ingin melihat peningkatan peratusan OKU bekerja dalam sektor kerajaan dan swasta dan majikan mempunyai inisiatif untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan kepada mereka supaya mereka juga boleh memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Saya berpendapat sekiranya kerajaan dapat membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU, maka golongan OKU tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan dan akan meningkatkan kualiti kehidupan mereka dari segi taraf sosial dan ekonomi.
Saya akan membincangkan faktor dalaman dalam proses kaunseling pemulihan yang melibatkan individu kurang upaya tersebut dalam menyesuaikan diri dengan ketidakupayaan yang dialami dan usaha untuk mencapai matlamat yang telah dipersetujui di awal proses kaunseling.
Disclaimer: Ini merupakan hasil karya penulis blog berdasarkan pembacaan penulis tentang konsep kaunseling pemulihan yang diperolehi daripada buku teks/jurnal kaunseling pemulihan. Sila dapatkan kebenaran daripada penulis untuk copy-paste artikel ini
References:
Laman web Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (2010)
Psychosocial Adaptation to Chronic Illness and Disability (Antonak & Livneh, 1997)

Kaunseling Pemulihan untuk Orang Kurang Upaya: Suatu pengenalan

Kaunseling pemulihan untuk orang kurang upaya bertujuan untuk membantu individu yang mengalami ketidakupayaan samada dari segi ketidakupayaan fizikal, psikiatri, pendengaran dan penglihatan, kognitif, pembelajaran dan ketidakupayaan dari segi pertumbuhan (developmental)untuk mengenalpasti kekuatan dan potensi diri bagi meningkatkan kesihatan psikologi dan motivasi untuk meneruskan kehidupan secara positif melalui proses kaunseling.
Kaunseling pemulihan juga bertujuan untuk membantu OKU untuk mempelajari kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan penyesuaian diri dengan faktor-faktor luaran seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran mencari pekerjaan, dan kemahiran membina hubungan interpersonal dengan keluarga dan kawan-kawan.
Kaunseling pemulihan berperanan mengenalpasti halangan-halangan yang dihadapi oleh golongan OKU misalnya halangan untuk mendapat akses kemudahan awam seperti menaiki pengangkutan awam atau halangan untuk menerima perkhidmatan selari dengan perkhidmatan yang diterima oleh masyarakat umum misalnya tidak berpeluang untuk menyaksikan pertandingan sukan kerana tidak ada tempat duduk yang sesuai disediakan oleh pihak berwajib. Dengan mengenalpasti halangan ini, kaunselor akan dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU dan mengenalpasti strategi yang sesuai untuk mengatasi permasalahan ini melalui perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab atau merujuk kepada undang-undang yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.
Proses kaunseling pemulihan individu kurang upaya bergantung kepada beberapa faktor yang akan dibincangkan dalam artikel yang seterusnya.

Disclaimer: Ini merupakan hasil karya penulis blog berdasarkan pembacaan penulis tentang konsep kaunseling pemulihan yang diperolehi daripada buku teks/jurnal kaunseling pemulihan. Sila dapatkan kebenaran daripada penulis untuk copy-paste artikel ini.

References: Foundations of the Vocational Rehabilitation Process (Rubin & Roessler, 2010)

Assalamualaikum

Saya akan menggunakan blog ini untuk memaparkan ilmu yang saya pelajari sepanjang pengajian saya dalam bidang kaunseling pemulihan untuk orang kurang upaya. Saya akan berkongsi maklumat-maklumat tentang isu-isu berkaitan dengan golongan kurang upaya yang mungkin bermanfaat kepada pelajar kaunseling atau pembaca umum. Mudah-mudahan blog ini boleh dijadikan medium untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kesedaran kita tentang kepentingan memahami isu, masalah dan cabaran yang sering dihadapi oleh golongan kurang upaya untuk berintegrasi dengan masyarakat umum.